Thursday 8 March 2018

Cerita-cerita hikmah.

Seorang ayah mengeluarkan sebuah peti yang berisi mutiara-mutiara yang amat mahal harganya. Dia kemudian meletakkan peti itu di depan tiga orang anak lelakinya.

"Wahai anak-anakku, oleh kerana ayah sangat mencintai kalian bertiga, maka ayah ingin memberikan isi peti ini pada kalian semua..", ujar si ayah.

Si ayah lalu membuka peti tersebut.

Ketiga-tiga mereka terpegun dengan kilauan manik-manik mutiara yang banyak di dalam peti itu.

"Wahai anak-anakku, setiap daripada kamu boleh mengambil mutiara-mutiara di dalam peti ini dengan kedua tangan kamu. Rauplah sebanyak mungkin tetapi kamu semua hanya dibenarkan meraup sekali sahaja.!"

Anaknya yang sulung terus mendekati peti tersebut. Dengan penuh semangat, dia melebarkan kedua tangannya dan meraup kemas manik-manik mutiara ke dalam genggamannya.

Begitu juga dengan anak yang kedua. Oleh kerana sudah besar panjang sudah tentu mereka dapat meraup mutiara dengan banyak dengan tangan mereka yang lebar.

Kedua mereka tersengih puas. Mereka memandang adik bongsu mereka yang masih kecil. Dalam fikiran mereka bagaimanalah adik bongsu mereka ini akan meraup manik mutiara yang banyak sedangkan dia masih kecil.

Anak bongsu itu tahu yang dia masih kecil dan tidak memiliki kelebihan seperti abang-abangnya. Dia mendekati ayahnya lalu memeluknya.

Dia berbisik perlahan, "Ayah, benarkah ayah menyayangiku?"

"Sudah tentu anakku!", balas si ayah.

"Kalau begitu, daku tidak mahu mengambil sendiri manik-manik mutiara di dalam peti ini, daku mahu ayah yang mengambilnya untukku.."

Si ayah hanya tersenyum memandang anak bongsunya itu. Dia menutup peti mutiara itu lalu menyerahkan kesemuanya kepada anak bongsunya.

Kedua abangnya tercengang tidak percaya melihat si ayah memberikan peti mutiara kepada adik bongsu mereka.

* * * *

Anak pertama dan kedua merasa yakin dengan kemampuan diri sendiri. Tidak seperti anak yang bongsu yang sedar dengan kelemahan diri lalu memerlukan pertolongan ayahnya dan akhirnya memperoleh lebih daripada yang dia inginkan.

Begitulah kebanyakan daripada kita. Kita amat yakin dengan diri sendiri yang lemah ini. Lupa bersandar pada Allah SWT. Lupa untuk mengembalikan segala urusan kepada Allah SWT.

Hanya Allah SWT yang mampu memberikan apa yang terbaik dalam hidup. Hanya Allah SWT yang tepat dalam memilih apa yang kita inginkan.

No comments:

Post a Comment